Assalamualaikum..
Disini aku nak share gan korang apa itu HUDUD secara ringkasnya. Aku harap korang akan paham apa itu HUDUD tak kira la korang berhaluan kiri or kanan.
ISI KANDUNGAN
1.0 PENGENALAN
1.1 APA ITU HUDUD
1.2 MENGAPA IA DILAKSANAKAN\
2.0 KEDUDUKAN HUDUD DALAM UNDANG-UNDANG ISLAM
3.0 HUKUM PELAKSANAAN HUDUD MENURUT ISLAM
4.0 HUDUD, QISAS, TA’ZIR DAN PERBEZAANNYA
5.0 AL-HUDUD
5.1 RIDDAH (MURTAD)
5.2 MABUK (MINUM ARAK)
5.3 ZINA
5.4 QAZAF (TUDUHAN ZINA)
5.5 PENCURIAN
5.6 PEMBERONTAKAN
5.7 ROMPAKAN (PENCURIAN BERKUMPULAN)
5.8 LIWAT
5.9 HUBUNGAN KELAMIN DENGAN HAIWAN
5.10 SIHIR
6.0 IKRAR DALAM HUDUD
7.0 HIKMAH HUDUD
7.1 KEPADA INDIVIDU
7.2 KEPADA MASYARAKAT
7.3 KEPADA AGAMA
7.4 KEPADA NEGARA
8.0 TERJEMAHAN / TAFSIR DARIPADA AL-QURAN BERKAITAN HUDUD
9.0 PELAKSANAAN HUDUD DI MALAYSIA
KESIMPULAN
RUJUKAN
___________________________________________________________________________
1.0 PENGENALAN
1.1 APA ITU HUDUD?
Hudud adalah salah satu kandungan dalam Hukum Jenayah Islam selain Qisas dan Ta’zir. Masing-masing mempunyai hukum dan sifat-sifatnya yang khusus. Pengertian hudud berdasarkan petikan daripada buku Mengenal Qanun Jenayah Islam yang dikarang oleh Dr. Abdul Ghani Azmi b. Idris, bahawa ;
Berasal daripada kata jamak, mufradnya Haddun: menurut bahasa ia bererti batas atau tegahan. Penjaga pintu dinamakan Haddad. Dan hukum ini dinamakan Hudud atas uqubah-uqubah maksiat kerana ia biasanya dapat mencegah pembuat maksiat mengulangi perbuatan maksiat yang kerananya dikenakan had. Dan pada asalnya perkataan had ialah sesuatu yang memisahkan antara dua perkara dan digunakan atas sesuatu yang membezakan sesuatu yang lain.
Menurut istilah Syara’, Hudud ialah uqubah (hukuman seksa dunia) yang telah ditetapkan untuk menjaga hak Allah s.w.t. Oleh kerana itu tidak termasuk Ta’zir kerana Ta’zir tidak ada ketentuan hukumannya dan tidak termasuk pula qisas kerana qisas adalah hak anak Adam.
Kesalahan dalam jenayah Hudud dianggap sebagai kesalahan terhadap hak Allah, kerana perbuatan itu menyentuh kepentingan masyarakat umum iaitu menjejaskan ketenteraman dan keselamatan orang ramai dan hukumannya pula memberi kebaikan kepada mereka. Kesalahan ini tidak boleh diampunkan oleh manusia sama ada mangsa jenayah itu sendiri, warisnya ataupun masyarakat umum.
Kesalahan Hudud ialah kesalahan-kesalahan yang bersangkutan dengan pelanggaran-pelanggaran terhadap hak-hak Allah. Kesalahan-kesalahan tersebut ialah :
1. Riddah
Murtad – keluar daripada agama Islam.
2. Zina
Persetubuhan atau hubungan kelamin yang tidak sah antara lelaki dan
wanita yang bukan mahram.
3. Qazaf
Tuduhan zina.
4. Pencurian (Sariqah)
5. Perompakan (Muharabah)
6. Liwat
Hubungan antara lelaki dengan lelaki atau lelaki dengan perempuan yang
melibatkan jalan belakang (dubur) atau hubungan homoseksual iaitu hubungan sejenis tanpa melibatkan jalan belakang.
7. Pemberontakan (Baghyu)
Penentangan terhadap pemerintah yang adil.
8. Hubungan Seks dengan Haiwan (Ityanul-Bahaaim)
9. Mabuk (Sakran)
Minum arak, khamar dan segala yang memabukkan.
10. Sihir
1.2 MENGAPA IA PERLU DILAKSANAKAN?
Hudud adalah Hukum yang disyariatkan oleh Allah s.w.t.,seperti mana yang diteliti terhadap dalil-dalil dari Al-Quran dan As-Sunnah yang sangat terang dan jelas. Jadi sebagai khalifah yang diwajibkan untuk menurut perintah-Nya dan menjauhi larangan-Nya, kita sepatutnya wajib melaksanakan hukum Hudud ini kerana amat jelas sekali ia adalah tuntutan Allah kepada kita semua apabila menjangkaui hak-hak kita sebagai manusia dan melanggar hak-hak Allah.
2.0 KEDUDUKAN HUDUD DALAM UNDANG-UNDANG ISLAM
Dalam Undang-undang Jenayah Islam, ia terbahagi kepada tiga hukum utama iaitu Hudud, Qisas, dan Ta’zir di mana pesalah akan dihukum setakat mana perlakuan atau kesalahan yang dilakukan. Keutamaan hukuman yang akan dijatuhkan ke atas pesalah ialah hukuman hudud, namun jika tiada bukti yang sah, atau tidak memenuhi syarat-syarat yang mengesahkan hukuman hudud, atau tidak meliputi perkara yang dikenakan hukuman hudud, maka ia akan dikenakan hukuman Qisas atau jika kesalahannya juga tidak meliputi Qisas, maka ia akan dikenakan hukuman Ta’zir mengikut ketentuan Hakim.
3.0 HUKUM PELAKSANAAN HUDUD MENURUT ISLAM
Islam diturunkan untuk dilaksanakan dalam kehidupan manusia di dunia dan sebagai pedoman hidup yang mutlak bagi umat manusia, khususnya bagi orang-orang Islam. Ajaran-ajaran Islam itu adalah bersifat universal, rasional dan fithri serta sesuai untuk sepanjang zaman, semua tempat dan keaadaan.
Tidak ada hukum Allah dan Rasul-Nya yang sudah lapuk ditelan zaman, bahkan hukum-hukum Allah dan Rasul itulah hukum ultra moden kerana ia dicipta oleh Allah Yang Maha Bijaksana dan Yang Maha Mengetahui akan sifat hambanya zahir dan batin. Tiada alternatif lain bagi umat Islam selain dari hukum-hukum Allah.
Hukum-hukum Islam itu telah dijalankan sepenuhnya oleh Rasulullah dan Khulafaur-Rasyidin dan Khalifah-khalifah Islam berikutnya sehinggalah zaman kejatuhan Islam. Tiada siapa yang berhak menukar gantikannya atau memansuhkannya. Hukum-hukum tersebut adalah kekal abadi sampai akhir zaman.
Allah telah menurunkan hukum-hukumnya dan kepada kita sebagai hambanya diwajibkan melaksanakan hukum-hukum itu dengan penuh ketaatan “kami dengar dan kami patuh,” bukannya dengan dolak-dalik dan helah seperti kaum Yahudi dan orang-orang munafiq.
Pelaksanaan hukum Hudud dan lain-lain syariat Islam pasti dapat menyelesaikan masalah kerosakan moral dan sahsiah yang sedang mengancam masyarakat manusia dan pasti akan wujud masyarakat yang aman damai dan makmur dalam keredhaan Allah. Demikian jaminan Allah dan Allah tidak akan memungkiri janji-janji-Nya.
4.0 HUDUD, QISAS, TA’ZIR DAN PERBEZAANNYA
4.1 HUDUD
CIRI-CIRI KHUSUS HUDUD:
Hudud mempunyai sifat-sifatnya yang khusus, iaitu:
Kesalahan-kesalahan Hudud telah ditetapkan Syara’
Hukuman-hukuman Seksanya (Uqubah) telah ditentukan jenis-jenisnya dan berat ringannya oleh ketetapan Syara’, tiada siapa yang boleh mengubah, melebihi atau menguranginya. Ia wajib dilaksanakan seperti adanya.
Kesalahan-kesalahan Hudud boleh dimaafkan sebelum ia dibawa ke depan hakim, tetapi tiada siapa yang dapat memaafkan atau mengurangkan hukuman setelah ia dibawa ke depan pengadilan.
Semua orang yang mencukupi syarat dikenakan hukuman yang sama dan tiada kecualinya.
Taubat tidak menggugurkan uqubah kecuali dalam hal kejahatan perompakan di mana perompak digugurkan dari uqubah jika ia bertaubat sebelum dapat ditangkap, dan orang murtad yang bertaubat sebelum dibawa ke muka pengadilan.
KESALAHAN-KESALAHAN YANG MELIBATKAN HUDUD:
Riddah (Murtad)
Zina
Qazaf Zina
Mabuk (Sakran)
Pencurian (Sariqah)
Perompakan (Muharabah)
Pemberontakan (Baghyu)
Liwat
Hubungan seks dengan haiwan (Ityanul-Bahaaim)
Sihir
Mengenai kesalahan yang disebutkan pada nombor 8, 9, dan 10 para ulama’ tidak sependapat mengenai jenis hukuman yang wajib dikenakan atas pesalah.
4.2 QISAS
Qisas ialah pembalasan yang serupa dengan kejahatan yang dilakukan oleh penjenayah ke atas mangsanya. Hukum qisas itu berlaku dalam jenayah pembunuhan sengaja dan penganiayaan atas anggota dan badan manusia (pemotongan anggota atau melukakan anggota). Hukuman ini dimaksudkan untuk mengajar dan mengawal hak-hak manusia.
CIRI-CIRI QISAS:
Qisas mempunyai ciri-cirinya yang tersendiri:
Jenis-jenis kesalahan dan hukumannya telah ditetapkan oleh Syara’.
Wali yang terbunuh atau yang teraniaya boleh memilih antara qisas atau diat (denda atau ganti rugi yang berupa harta benda).
Qisas tidak boleh dimaafkan oleh hakim baik sesudah atau sebelum dibawa ke mahkamah, sebab ia adalah hak manusia. Hanya wali yang terbunuh atau yang teraniaya sahaja yang dapat memaafkan penjenayah, baik sebelum ataupun sesudah dibawa ke pengadilan.
Persaksian orang bisu dengan tulisannya atau isyaratnya diterima dalam qisas, tetapi tidak boleh diterima dalam Hudud.
Hakim boleh memutuskan perkara berdasarkan maklumatnya sendiri, tetapi tidak boleh dalam Hudud.
Pengakuan dalam Qisas tidak boleh ditarik balik, sedangkan pengakuan dalam Hudud boleh ditarik balik.
Taubat dalam Qisas tidak menggugurkan hukuman.
Hanya waliul-Amri atau hakim sahaja yang dapat melakukan qisas.
Qisas mestilah melalui pendakwaan sedangkan Hudud selain qazaf tidak mesti melalui pendakwaan.
4.3 TA’ZIR
Ta’zir kadang-kala bermakna mengagungkan dan menolong. Kadang-kala ia bermakna penghinaan. Yang dimaksudkan oleh Syara’ ialah tindakan mendidik atas sesuatu dosa yang tidak mempunyai hukuman Had dan kifarat, yakni ia adalah hukuman seksa yang bersifat mendidik yang ditentukan oleh Hakim atas satu jenayah atau maksiat yang Syara’ tidak menetapkan uqubah, atau telah menetapkan uqubah tetapi tidak mencukupi syarat-syarat pelaksanaannya; seperti melakukan hubungan seks pada selain kemaluan (perempuan), mencuri barang-barang yang tidak dikenakan potong tangan, jenayah yang tidak dikenakan qisas, lesbian, menuduh orang lain melakukan maksiat selain zina, dan sebagainya.
CIRI-CIRI KHAS TA’ZIR:
Hudud berlaku pada semua orang serupa, tidak berbeza, tetapi ta’zir hukumannya boleh berbeza antara orang-orang yang bersalah.
Hukuman Ta’zir belum ditetapkan Allah dan Rasul-Nya mengenai jenis-jenis hukuman, ia diserahkan kepada kebijaksanaan hakim sendiri.
Ta’zir boleh dimaafkan orang yang bersalah, baik sebelum atau sesudah dibawa ke mahkamah.
Orang yang mati kerana hukuman Ta’zir wajib dibayar dhaman (ganti rugi).
KESALAHAN-KESALAHAN TA’ZIR:
Kesalahan-kesalahan yang termasuk dalam bidang Ta’zir sangat banyak dan di sinilah terletaknya peranan dan kebijaksanaan hakim. Ia meliputi kesalahan-kesalahan yang tidak dikenakan had kerana tidak mempunyai syarat-syarat pelaksanaannya yang cukup, seperti kanak-kanak yang belum dewasa mencuri atau sebagainya, orang mencuri barang yang tidak mencukupi nisabnya, atau barang yang dicuri adalah milik Baitul-Mal dan sebagainya.
Selain itu, Ta’zir termasuk semua maksiat yang tidak termasuk dalam bidang Hudud dan Qisas, seperti lesbian, persaksian bohong, judi, memakan benda-benda haram, meninggalkan kewajipan-kewajipan agama seperti meninggalkan solat fardhu, puasa, haji dan lain-lain.
5.0 AL-HUDUD
5.1 RIDDAH
Perbuatan keluar dari agama Islam oleh orang Islam yang mukallaf dinamakan riddah dan orang yang melakukannya dinamakan Murtad.
Riddah berlaku kerana salah satu sebab dari tiga sebab yang berikut:
Rosaknya keyakinan hati, atau
Mengucapkan perkataan-perkataan kufur, atau
Melakukan perbuatan-perbuatan kufur.
Perbuatan Riddah dikira sah apabila seseorang tidak memperakui Allah adalah Tuhannya, Rasulullah adalah utusan-Nya, tidak mempercayai kewujudan Hari Kiamat, tidak mempercayai Qada’ dan Qadar, tidak mempercayai kewujudan Malaikat, dan tidak memperakui kesahihan Al-Quran, di mana ia melibatkan keguguran iman seseorang apabila melanggar Rukun Iman. Penafian atau menentang perintah Allah seperti Solat lima waktu, mengerjakan Haji, menunaikan zakat, dan berpuasa di bulan Ramadhan, mengerjakan cara pemujaan atau sembahyang agama lain juga termasuk dalam perbuatan Riddah.
SYARAT-SYARAT RIDDAH
Riddah baru dikira sah apabila mempunyai syarat-syarat yang berikut:
Yang melakukan riddah adalah orang Islam. Tidak dikira murtad orang yang beragama Yahudi memasuki agama Nasrani atau dan lain-lainnya.
Yang melakukan riddah adalah orang dewasa.
Yang melakukan riddah adalah berfikiran waras. Kanak-kanak atau orang gila yang murtad tidak dikira sah, oleh kerana itu ia tidak dikenakan hukuman had.
Tetapi kanak-kanak yang murtad wajib dikenakan hukuman ta’zir bagi mencegahnya untuk menjadi murtad lagi.
Perbuatan Riddah itu dilakukan dengan sengaja, bukan kerana tersalah atau terlupa dan bukan kerana paksaan. Perbuatan riddah yang tidak sengaja atau terpaksa adalah tidak sah dan orang yang melakukannya tidak bersalah. Sebagai contoh kisah ‘Ammar bin Yasir daripada keluarga Yasir yang diseksa oleh golongan Arab Quraisy dikepalai Abu Jahal. ‘Ammar mengaku dengan lidah keluar
Perbuatan riddah itu meyakinkan dan tidak meragukan sama sekali. Mempunyai bukti-bukti yang terang, dengan pengakuan atau dengan persaksian yang adil saksama. Seseorang tidak boleh dituduh secara melulu.
UQUBAH ATAS ORANG MURTAD
Orang murtad adalah halal darahnya, dan wajiblah dikenakan hukuman mati. Dalilnya ialah:
Ibn Mas’ud meriwayatkan, bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:
“Tidak halal darah seseorang muslim melainkan kerana salah satu dari tiga perkara: Kafir sesudah beriman (murtad), berzina sesudah ihshan (muhshan* yang berzina) dan membunuh jiwa seseorang.”
(Hadith Muttafaq ‘Alaih)
Cara membunuh orang murtad ialah dengan memenggal lehernya dengan pedang, berdasarkan hadith berikut:
“Muaz bin Jabal datang menemui Abu Musa Al-Asy’ari di Yaman, tiba-tiba di sisinya terdapat seorang lelaki. Mu’az berkata: Apa ini? Abu musa menjawab: Seorang lelaki Yahudi memeluk Islam kemudian ia kembali menjadi Yahudi, dan kami menghendaki dia kembali ke dalam Islam semenjak dua bulan. Kata Mu’az: Demi Allah, aku tidak akan duduk sebelum kamu penggal lehernya, lalu orang itupun dipenggal lehernya. Berkatalah Mu’az: Allah dan Rasul-Nya memutuskan bahawa barangsiapa yang murtad dari agamanya hendaklah kamu bunuh akan dia.” (Diriwayatkan Ahmad)
TAUBAT ORANG MURTAD
Sebelum melaksanakan hukuman mati, seorang murtad disuruh bertaubat, lalu jika ia bertaubat maka taubatnya diterima dan gugurlah ia dari hukuman mati.
Akan tetapi, jika ia tidak mahu bertaubat, maka ia dikenakan hukuman mati itu. Para ulama’ tidak sependapat dalam hukum Istitabah (menyuruh taubat) terhadap orang murtad:
1) Sebahagian besar para fuqaha berpendapat bahawa hukum menyuruh orang murtad bertaubat sebelum dibunuh adalah wajib. Termasuk dalam golongan yang berpendapat demikian ialah mazhab Maliki, Hambali, Asy-Syafi’e, Syi’ah Zaidiah, Ath-Thauri, dan Al-Auza’i.
2) Abu Hanifah dan pendapat lain dari yang di atas berpendapat bahawa istitabah itu hanya sunat.
3) Golongan mazhab Zahairi pula berpendapat, bahawa istitabah itu bukanlah kewajipan dan bukanlah satu larangan.
4) Al-Hasan Al-Bashri, Thawus dan lain-lain lagi berpendapat, bahawa orang murtad itu wajib dibunuh segera dan tidak perlu diberi tempoh untuk bertaubat. Pendapat ini bertentangan dengan dalil-dalil yang sah.
Mengenai tempoh taubat pula para ulama’ berselisih pendapat pula. Ada yang mengatakan tiga hari, sebulan dan ada yang mengatakan lebih daripada itu. Tempoh bertaubat sebenarnya tidak ada dalil yang sah yang membataskan tempoh itu, semuanya bergantung pada ijtihad hakim.
AKIBAT-AKIBAT RIDDAH
Selain dari uqubah (hukuman mati terhadap golongan murtad) sepertimana yang telah dinyatakan, maka riddah menimbulkan akibat-akibat hukum yang berikut:
1. Hubungan perkahwinan menjadi putus.
Apabila salah seorang suami atau isteri murtad, maka terputuslah perkahwinan antara kedua-duanya. Pemutusan perkahwinan kerana riddah ini ikira sebagai Fasakh.
2. Kehilangan hak perwalian
Orang yang murtad tidak boleh menjadi wali kepada orang Islam dalam apa bidang sekalipun.
3. Kehilangan hak pusaka
Orang murtad menurut hukum kedudukannya adalah lebih rendah daripada kafir biasa, maka ia kehilangan hak untuk menerima pusaka dari keluarganya.
4. Kehilangan hak persaksian
Orang yang hendak menjadi saksi mestilah orang Islam yang adil. Orang Islam yang fasiq tidak diterima sebagai saksi. Orang kafir tidak boleh menjadi saksi walaupun ia kafir Zimmi, kecuali dalam perkara wasiat orang Islam yang hendak meninggal dunia dalam perjalanan apabila tidak ada orang Islam.
5. Kehilangan hak dalam pimpinan dan jawatan
Jika seorang yang murtad itu telah menjadi pemimpin bagi orang Islam, maka secara hukum telah kehilangan peranannya dan sudah tidak berhak lagi untuk memimpin dan mengurus orang Islam.
5.2 PEMABUKAN
PENGERTIAN KHAMAR (ARAK)
Khamar ialah sesuatu yang memabukkan, yang merosakkan akal sama ada cecair yang dinamakan arak atau pepejal yang dinamakan candu. Semua bahan yang sifatnya memabukkan dan merosakkan akal dinamakan khamar, dari bahan apapun ia dibuat.
MINUM KHAMAR ADALAH DOSA BESAR
Khamar adalah ibu dari segala kejahatan dan kejijikan, meminumnya termasuk salah satu dosa besar, bahkan iman peminumnya diragui.
UQUBAH KE ATAS PEMABUKAN
Tiada sebarang perbezaan pendapat di kalangan para ulama’ mengenai hukuman rotan yang wajib dikenakan atas peminum arak, cuma mereka berbeza pendapat mengenai jumlah sebatan itu.
1. As-Syafi’e berpendapat, bahawa sebatan itu adalah 40 kali sebatan.
Pendapat ini didasarkan kepada Hadith, Riwayat Muslim, bahawa ‘Ali r.a merotan Al-Wahid bin Uqbah sebanyak 40 kali rotan kemudian beliau berkata:
Rasulullah s.a.w. telah merotan 40 kali rotan, Abu Bakar merotan 40 kali rotan dan Umar 80 kali rotan, semuanya berdasarkan sunnah, dan saya lebih menyukai ini (40 kali rotan).
2. Abu Hanifah dan sahabat-sahabatnya, Malik, Al-Laith, keluarga Rasul dan satu pendapat lain dari Asy-Syafi’e menetapkan bahawa hukuman ke atas peminum arak ialah 80 rotan.
ALAT UNTUK MEROTAN PEMINUM
Tiada sabit dari Rasulullah s.a.w. bahawa beliau menetapkan alat-alat yang tertentu untuk memukul peminum arak. Kadang-kadang beliau memukul dengan selipar, kadang-kadang dengan pelepah tamar, kadang-kadang dengan rotan dan pelepah tamar, kadang-kadang dengan tangan dan selipar.
SYARAT-SYARAT PELAKSANAAN
Untuk melaksanakan hukuman (uqubah) atas peminum arak disyaratkan syarat-syarat yang berikut:
Peminum hendaklah berfikiran waras.
Peminumnya hendaklah seorang dewasa. Kanak-kanak tidak dikenakan hukuman had rotan, tetapi ia dikenakan hukuman Ta’zir menurut ketentuan hakim.
Dengan sengaja meminum arak.
Peminum mengetahui bahawa yang diminumnya adalah arak.
SABITNYA KESALAHAN
Kesalahan pemabukan ini disabit melalui salah satu dari dua cara:
Dengan pengakuan oleh peminumnya sendiri.
Dengan persaksian oleh dua orang saksi yang adil.
HUKUM BERUBAT DENGAN KHAMAR
Sepakat para ulama’ bahawa arak haram hukumnya dan termasuk salah satu dosa besar. Tiap-tiap sesuatu yang diharamkan minumnya, maka haramlah ia dimakan, diperniagakan dan dihadiahkan walaupun kepada orang bukan Islam, dan haram pula dijadikan ubat-ubatan.
HUKUM MENCARI REZEKI DENGAN KHAMAR
Setiap orang mukallaf wajib mencari rezeki untuk menyara hidupnya dan keluarganya. Ia termasuk ibadat. Oleh kerana khamar diharamkan oleh Allah dan Rasul-Nya dan ia pula termasuk dalam dosa besar yang diancam dengan uqubah dan ‘iqab, maka haramlah mencari rezeki dengan khamar itu. Pengharaman ini meliputi semua pekerja di kilang-kilang khamar, pengangkutan, ladang-ladang kepunyaan kilang atau pengusaha khamar, kedai-kedai khamar, pengusaha import dan eksport khamar dan sebagainya.
Jabir bin Abdullah r.a. meriwayatkan, bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:
“Bahawa Allah mengharamkan penjualan khamar, bangkai, babi, dan patung-patung berhala.”
(Hadith riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
5.3 ZINA
PENGERTIAN ZINA
Zina ialah persetubuhan haram melalui alat kelamin lelaki dan wanita di luar perkahwinan yang sah, sama ada pasangan itu melakukannya secara suka sama suka, dengan bayaran ataupun tidak, sama ada perkosaan atau tidak, sama ada ia dilakukan oleh seorang dewasa dan pasangannya tidak dewasa, sama ada dilakukan oleh suami, isteri atau tidak, sama ada dilakukan oleh orang yang pernah bersuami atau beristeri atau tidak. Semua hubungan seks di luar perkahwinan yang sah, dinamakan zina.
HUKUM ZINA
Zina adalah satu perbuatan keji yang termasuk dalam kelompok dosa-dosa besar.
Antara dalil-dalil daripada hadith berkaitan pengharaman zina adalah:
Sabda Rasulullah:
“Tidak ada dosa sesudah syirik dengan Allah lebih besar dari benih yang ditumpahkan oleh seorang lelaki dalam kemaluan perempuan yang tidak halal baginya.”
(Hadith riwayat Ibnu Abi Ad-Dunia (dhaif).)
“Barangsiapa yang berzina atau meminum khamar, Allah mencabut imen daripadanya bagaikan orang mancabut baju dari kepalanya.”
(Hadith riwayat Al-Hakim (dhaif).)
JENIS-JENIS ZINA
A. PENZINA MUHSHAN:
Yang dimaksudkan dengan penzina muhshan ialah lelaki atau wanita yang telah menikmati persetubuhan dalam perkahwinan yang sah, sama ada keluar mani atau tidak, sama ada masih dalam ikatan perkahwinan ataupun telah bercerai. Hukuman yang diancam ialah uqubah di dunia dan ‘iqab di akhirat. Di dunia dikenakan hukuman mati iaitu direjam sampai mati.
SYARAT-SYARAT PELAKSANAAN
1. Berakal waras
Orang gila tidak dikenakan hukuman rejam,hanya dikenakan hukuman Ta’zir sahaja. Orang mabuk yang berzina tidak terlepas dari hukuman rejam kerana ia mabuk atas kerelaannya sendiri dan ia tahu bahawa pemabukan boleh membawa akibat yang berat, kecuali ia dipaksa untuk minum atau tersalah minum lalu mabuk lalu melakukan zina, maka ia terlepas dari hukuman.
2. Orang dewasa
3. Orang merdeka
Hukuman terhadap hamba hanyalah separuh hukuman orang merdeka.
4. Telah menikmati hubungan seks (sanggama) dalam perkahwinan yang sah, walaupun tidak sampai keluar mani.
5. Zina itu dilakukan dengan sukarela. Orang yang dipaksa berzina atau tersalah orang tidak dikenakan hukuman rejam.
Pendapat golongan Asy-Syafie, Maliki dan Hanbali.
Tidak dikenakan hukuman rejam apabila seorang lelaki berzina dengan seorang wanita yang tidur di kamar rumahnya kerana menyangka ia adalah isterinya kerana walaupun ia termasuk dalam kategori zina, tetapi ada mempunyai ciri-ciri subhat, di mana subhat menggugurkan Hudud.
Pendapat golongan Hanafi
Wajib dikenakan hukuman Had kerana tidak mungkin si lelaki tidak kenal isterinya sendiri melalui sentuhan, baunya atau suaranya.
Pendapat Imam Abu Hanifah
Berzina dengan wanita yang diupah tidak dikenakan hukuman hudud kerana upah itu dikira sebagai maharnya. Pendapat beliau ditentang keras oleh para ulama’ termasuklah sahabat-sahabatnya. Pendapat ini bertentangan dengan dalil-dalil yang naqli dan akli. Jika menurut pendapat beliau, orang yang berzina dengan pelacur terlepas hukuman had kerana telah membayar upah kepada wanita yang ditiduri itu.
Pendapat Imam Ibnu Hazm
Lanjutan daripada kes Imam Abu Hanifah, beliau pula menyatakan dengan tegas bahawa penzinaan antara lelaki dan perempuan yang diupah lebih hina daripada penzinaan tanpa upah, malahan penzina yang mengambil upah telah melakukan haram yang lain lagi, iaitu memakan harta dengan jalan yang batil.
SABIT KESALAHAN ZINA
1. Pengakuan penzina sendiri.
Pengakuan adalah penghulu segala dalil dan menjadi bukti atas kesalahan yang telah dilakukannya. Pengakuan penzina perlulah memenuhi syarat-syarat yang berikut:
Berakal
Pengakuan mestilah dibuat secara lisan
Dewasa
Dengan sukarela
Bilangan pengakuan
Menurut Asy-Syafie, Maliki, Al-Hasan, Daud, Hammad bin Abu Sulaiman, Abu Thaur, dan Ath-Thabari berpendapat bahawa pengakuan cukup dengan hanya sekali sahaja.
Menarik balik pengakuan
Apabila seorang penzina menarik balik pengakuannya, maka tidaklah ia dikenakan hukuman. Demikianlah pendapat menurut golongan Asy-Syafie, Hanafi, dan Ahmad.
2. Persaksian oleh empat orang saksi
Kesalahan zina menjadi sabit apabila ia disaksikan oleh persaksian yang memenuhi syarat-syarat yang berikut:
Persaksian dibuat oleh empat orang saksi. Jika persaksian kurang daripada empat orang, ia tidak diterima bahkan mereka dikenakan hukuman lapan puluh kali rotan kerana menuduh tanpa saksi yang cukup.
Semua saksi hendaklah lelaki.
Semua saksi hendaklah beragama Islam
Semua saksi terdiri daripada orang dewasa
Semua saksi berfikiran waras
Tuduhan dengan menggunakan perkataan yang terus-terang, bukan perkataan sindiran.
Melihat kesalahan zina itu dengan terus-terang, secara jelas melihat kemaluan lelaki masuk ke dalam kemaluan perempuan.
Persaksian keempat-empat hendaklah dibuat dalam satu majlis, bukan di tempat yang berlainan dan masa yang berlainan.
3. Kerana si wanita mengandung
Menurut pendapat kebanyakan ulama’ wanita yang mengandung tanpa suami, tanpa diketahui siapa bapanya, ia tidaklah dikenakan had semata-mata, tetapi hendaklah dengan pangakuannya atau persaksian oleh empat orang saksi, sebab kandungan itu mungkin kerana hubungan seks dalam perkahwinan fasiq, mungkin kerana dipaksa, atau mungkin kerana hubungan seks yang dilakukan ke atasnya tanpa kesedarannya semasa tidur atau sebab-sebab lain.
UQUBAH KE ATAS PENZINA MUHSHAN
Hukuman had atas penzina muhshan ialah direjam sampai mati. Tidak ada perbezaan pendapat antara ulama’ mengenai hukuman ini.
CARA PELAKSANAAN HUKUMAN REJAM
Hukuman hendaklah dilakukan secara terbuka dan dipersaksikan oleh sekumpulan orang Islam, baik mengenai hukuman rotan mahupun rejam.
Hukuman bagi wanita yang sedang mengandung hendaklah ditangguhkan sampai ia bersalin dan selesai menyusukan anaknya dalam tempohnya, jika tidak ada orang lain yang akan menyusukan anaknya.
Wanita yang direjam hendaklah direjam sambil duduk, manakala lelaki hendaklah direjam sambil berdiri, begitulah menurut Jumhur ulama’
Pakaian orang yang dikenakan hukuman rejam hendaklah diikat baik-baik supaya tidak terbuka auratnya ketika menggelepar kesakitan semasa direjam.
Menurut Abu Hanifah, orang yang menjadi saksi wajib menjadi orang pertama merejam. Jika wanita itu membuat pengakuan sendiri, maka pemimpin negara atau wakilnya wajib memulakan hukuman itu.
Menggali lubang untuk orang yang direjam.
B. PENZINA BUKAN MUHSHAN
Penzina bukan muhshan ialah lelaki atau wanita yang belum pernah menikmati hubungan seks dalam perkahwinan yang sah, walaupun telah melakukan hubungan seks itu di luar perkahwinan yang sah.
UQUBAH KE ATAS PENZINA BUKAN MUHSHAN
Hukuman yang wajib ke atas penzina bukan muhshan ialah:
Cambukan rotan seratus kali
Pembuangan negeri (Daerah) selama setahun
SYARAT-SYARAT PELAKSANAAN HUKUMAN
Syarat-syarat pelaksanaan had, syarat-syarat yang dikenakan ke atas pesalah serupa dengan syarat-syarat yang dikenakan ke atas penzina muhshan. Demikian pula mengenai sabitnya kesalahan, iaitu melalui pengakuan, persaksian, dan kehamilan.
CARA PELAKSANAAN UQUBAH
Wanita yang hamil hendaklah ditangguhkan sampai ia bersalin dan setelah tempoh penyusuannya tamat.
Penzina yang sedang sakit ditangguh sampai ia sembuh.
Hukuman tidak boleh dilakukan dalam keadaan cuaca yang terlalu panas atau terlalu sejuk.
Pesalah dirotan sambil ia duduk.
Cambukan rotan boleh dikenakan kepada seluruh anggota badan, kecuali kepala, muka dan kemaluan. Demikian menurut pendapat Asy-Syafie, dan Abu Hanifah.
Rotan yang digunakan adalah rotan yang sederhana besarnya, tidak besar dan tidak pula kecil, dan jika pelepah tamar yang digunakan, maka hendaklah menggunakan pelepah tamar yang separuh kering.
Jika hukuman itu dikenakan atas dasar pengakuan pesalah sendiri, maka hukuman dihentikan atau digugurkan jika pesalah menarik balik pengakuannya.
Pelaksanaan hukuman rotan hendaklah dipersaksikan oleh segolongan orang-orang mukmin.
5.4 QAZAF
Qazaf bermaksud tuduhan zina. Tuduhan selain zina tidak termasuk dalam Hudud, tetapi termasuk dalam Ta’zir. Tuduhan zina sangat besar dosanya. Qazaf hendaklah dengan perkataan yang terang dan jelas iaitu dengan menggunakan perkataan zina atau menafikan anak yang dilahirkan isterinya atau yang sedang dikandung isterinya, atau menggunakan perkataan yang serupa dengan zina dalam bahasa lain.
Menurut beberapa pendapat ulama’, tuduhan mestilah secara terbuka, tuduhan secara tertutup tidak termasuk dalam qazaf. Namun dalam Al-Quran dan As-Sunnah menyebut tentang qazaf secara umum, jadi qazaf secara terbuka, tertutup, bertulis dan sebagainya dikira sebagai qazaf menurut pandangan sebilangan besar Jumhur ulama’
SYARAT-SYARAT PELAKSANAAN HUKUMAN
Qazaf menjadi sabit apabila memenuhi syarat-syarat yang berikut:
1. Orang yang menuduh:
Berfikiran waras
Dewasa
Tuduhan dilakukan secara terang-terangan dan sengaja, bukan dipaksa.
Tidak disyaratkan penuduh mesti orang Islam. Orang kafir yang menuduh orang Islam akan dikenakan hukuman had juga.
2. Orang yang dituduh:
Berfikiran waras
Dewasa
Kebanyakan dari pendapat ulama’ membataskan umur lelaki yang dituduh ialah 10 tahun dan perempuan yang dituduh ialah 7 atau 9 tahun.
3. Orang Islam
4. Merdeka
Menuduh hamba tidak dikenakan had, demikian pendapat jumhur ulama’, antaranya ialah Abu Hanifah, Asy-Syafie, Maliki, Al-Auzai’, Sufian Ath-Thauri, dan lain-lain.
5. Orang yang dituduh tidak membuat zina sebelum dan sesudah dituduh.
SABIT KESALAHAN QAZAF
Kesalahan qazaf menjadi sabit melalui salah satu dari dua cara:
Kerana pengakuan penuduh sendiri, dan ia gagal mendatangkan empat orang saksi, atau
Kerana persaksian dua orang lelaki yang adil
UQUBAH KE ATAS KESALAHAN QAZAF
Uqubah yang dikenakan ke atas penuduh ialah:
Lapan puluh pukulan cemeti
Hilang hak persaksian kerana ia sudah tergolong dalan golongan orang-orang fasiq. Haknya akan pulih apabila ia bertaubat dan beramal soleh.
Pelaksanaan hukuman ini dilakukan oleh hakim atas tuntutan yang tertuduh sendiri atau walinya.
GUGURNYA HUKUMAN
Penuduh akan terlepas dari hukuman had apabila ia dapat mengemukakan empat orang saksi seperti saksi-saksi dalam bab zina, ataupun apabila tertuduh sendiri membuat pengakuan berzina yang dituduhkan ke atasnya. Jika penuduh berjaya mengemukakan empat orang saksi, maka gugurlah hukuman had ke atasnya, sebaliknya tertuduh dikenakan hukuman had penzina.
LI’AN
Kadang-kadang qazaf ini dilakukan oleh suami terhadap isterinya padahal ia tidak mempunyai empat orang saksi dan si isteri tidak mengaku bersalah.
Dalam hal ini, apabila suami menuduh isterinya berzina atau menafikan anaknya dan ia tidak mempunyai empat orang saksi, maka ia dibebaskan dari hukuman had qazaf, dan diberi kesempatan untuk bersumpah sebanyak empat kali bahawa isterinya benar-benar berzina, dan pada kali kelima ia bersumpah: Jika aku berbohong, maka aku akan mendapat laknat dari Allah.
Dan si isteri pula diberi hak untuk membela dirinya dengan bersumpah empat kali bahawa suaminya berbohong dan untuk kali kelima ia bersumpah: Jika suamiku benar dengan tuduhannya, maka aku akan mendapat kemurkaan dari Allah s.w.t.. Inilah yang dinamakan Li’an.
5.5 PENCURIAN
PENGERTIAN PENCURIAN
Pencurian adalah mengambil barang kepunyaan orang lain dengan sengaja dan secara senyap-senyap dari tempat simpanannya yang wajar. Ciri-ciri pencuri itu ialah:
1. Mengambil barang kepunyaan orang lain.
Pencurian yang tidak termasuk dalam jenis pencurian yang dikenakan hukuman potong tangan ialah mengambil barang dari Baitulmal, mengambil barang kepunyaan syarikat di mana ia menjadi ahli, suami mencuri barang isteri dan sebaliknya, dan orang tua yang mencuri kepunyaan anaknya.
2. Secara senyap-senyap.
Mengambil barang orang lain secara terang-terangan (merampas) tidak dinamakan pencurian yang dikenakan hukuman had.
3. Barang diambil dari tempat simpanan yang wajar.
Mengambil barang kemas di luar rumah, ambil padi di sawah, ambil haiwan di ladang walaupun dinamakan pencurian , tetapi tidak dikenakan hukuman potong tangan.
4. Dengan sengaja.
Mengambil barang orang kerana tersalah ambil, kerana terlupa, dipaksa, atau terpaksa kerana lapar tidak dikenakan hukuman potong tangan.
“Umatku tidak dipertanggungjwabkan kerana tersalah, terlupa dan orang-orang yang dipaksakan.”
(Hadith riwayat Ibn Majah, Ibn Hibban, Ath-Thabarani, dan Al-Haakim)
SYARAT-SYARAT PENCURIAN
Pencurian yang berakibat hukum barulah wujud apabila memenuhi syarat-syarat berikut:
Pencuri:
Mukallaf: dewasa dan berfikiran waras. Tidak ditetapkan pencuri mesti beragama Islam. Orang bukan Islam yang mencuri juga dikenakan hukuman potong tangan.
Perbuatan mencuri dilakukan dengan sengaja.
Pencuri tiada subhat (hubungan langsung) dengan barang-barang yang dicuri. Seperti bapa mencuri barang anaknya, atau ahli syarikat mencuri harta syarikat, mereka tidak dikenakan hukuman had.
Barang-barang yang dicuri:
Barang yang dicuri adalah halal dari segi hukum.
Barang-barang yang dicuri berada dalam tempat simpanannya yang layak.
Barang-barang yang dicuri cukup nisabnya:
Menurut pendapat jumhur ulama’, nisab barang-barang yang dicuri ialah bernilai ¼ dinar emas atau tiga dirham perak (9.36 gram emas) atau senilai ¼ dinar. Pendapat inilah yang paling kuat dari segi dalilnya.
“Aisyah r.a. berkata: Adalah Rasulullah s.a.w. memotong tangan pencuri yang mencuri ¼ dinar ke atas.”
(Hadith riwayat Jama’ah Ahli Hadith selain Ibn Majah)
“Umar r.a meriwayatkan: Bahawasanya Rasulullah s.a.w. memotong tangan pada (pencurian) sebuah perisai yang berharga tiga dirham.”
(Hadith riwayat Jama’ah Ahli Hadith)
“Dalam riwayat lain Rasulullah s.a.w. bersabda: Janganlah kamu potong tangan pencuri, kecuali pada ¼ dinar ke atas.”
(Hadith riwayat Ahmad, Muslim, An-Nasai, dan Ibn Majah)
Golongan mazhab Hanafi berpendapat, bahawa nisabnya mestilah lebih daripada 10 dirham.
Ada lagi pendapat-pendapat lain yang dikemukakan oleh ulama’-ulama’.
PENCURIAN BERKUMPULAN
Apabila sekumpulan orang mencuri barang kepunyaan orang lain, dan jika dibahagikan masing-masing cukup nisab, maka semua mereka dipotong tangan. Akan tetapi jika barang yang dicuri itu cukup nisabnya, tetapi setelah dibahagikan masing-masing tidak cukup nisabnya, dalam hal ini para ulama’ berselisih pendapat.
Golongan Jumhur ulama’ berpendapat mereka dipotong tangan kerana jumlah barang yang dicuri telah cukup nisabnya, bukan setelah dibahagikan untuk ramai.
Abu Hanifah pula berpendapat mereka tidak dipotong tangan kerana barang yang dicuri mereka tidak mencukupi nisab apabila dibahagikan masing-masing.
SABIT KESALAHAN MENCURI
Kesalahan mencuri menjadi sabit melalui salah satu dari dua perkara:
Pengakuan oleh pencuri sendiri.
Dengan persaksian oleh dua orang saksi lelaki yang adil
UQUBAH KE ATAS KESALAHAN PENCURIAN
Hukuman potong tangan
Barangan curian hendaklah dikembalikan
Menggantungkan tangan yang dipotong di leher pencuri
GUGURNYA HUKUMAN POTONG TANGAN
Apabila pencuri menarik balik pengakuannya sebelum dikenakan hukuman potong tangan, maka gugurlah hukuman potong tangan itu ke atasnya.
PENCURIAN YANG TIDAK DIKENAKAN HAD
Pencurian yang dikenakan hukuman Ta’zir:
Pencurian yang dilakukan oleh kanak-kanak atau orang gila
Pencurian yang tidak cukup nisab
Pencurian atas barang-barang kepunyaan bersama
Pencurian atas barang-barang yang tidak sah dimiliki
Pencurian yang dipaksakan atau kerana terlalu lapar
Pencurian yang dilakukan oleh orang tua terhadap harta milik anaknya
5.6 MUHARABAH (PEROMPAKAN)
PENGERTIAN
Muharabah atau Hirabah ialah sekumpulan bersenjata dalam sesebuah negara Islam yang menimbulkan kekacauan, menumpahkan darah, merompak harta benda, memperkosa kehormatan wanita, menculik, merosakkan tanaman, ternakan dan sebagainya. Perompak ini mungkin dilakukan oleh orang Islam dan mungkin dilakukan oleh orang kafir zimmi atau harbi.
SYARAT-SYARAT MUHARABAH
Muharabah mestilah memenuhi syarat-syarat berikut:
Yang melakukannya ialah orang mukallaf, lelaki atau perempuan, Islam atau tidak.
Mempunyai kekuatan senjata yang dipergunakan untuk perompakan walaupun tongkat ataupun batu.
Melakukannya secara terang-terangan.
Dan lain-lain syarat yang diperselisihkan ulama’.
UQUBAH TERHADAP KESALAHAN HIRABAH
Allah s.w.t. menetapkan empat hukuman atas kesalahan muharabah ini:
Hukuman mati, atau
Hukuman salib, atau
Potong tangan dan kaki secara bersilang, atau
Dibuang negeri
Segolongan ulama’ berpendapat hakim boleh memilih hukuman berdasarkan betapa besarnya kesalahan atau jenis kesalahan yang telah dibuat pesalah.
PELAKSANAAN HUKUMAN
Setelah adanya pengakuan daripada pesalah sendiri (hukuman digugurkan apabila pesalah menarik balik pengakuan) atau dengan persaksian dua orang saksi lelaki yang adil, maka hukuman dilakukan seperti berikut:
Kumpulan perompak yang membunuh sahaja dikenakan hukuman mati. Hakim dan wali yang terbunuh tidak boleh memaafkan pesalah.
Kumpulan perompak yang membunuh dan merompak harta benda dikenakan hukuman salib dan bunuh.
Kumpulan yang hanya merompak harta benda dikenakan hukuman potong tangan dan kaki secara bersilang.
Terhadap kumpulan yang hanya mengganggu ketenteraman atau lalulintas hanya dikenakan hukuman buang negeri.
TAUBAT SEBELUM DITANGKAP
Ulama’-ulama’ berbeza pendapat mengenai perkara ini, tetapi kebanyakan daripada mereka berpendapat bahawa taubat hanya menggugurkan hukuman pencurian dan pelanggaran hak-hak Allah, tetapi dipertanggungjawabkan atas pertumpahan darah (membunuh) dan harta benda yang masih wujud lagi di tangan perompak.
CARA BERTAUBAT
Ulama’-ulama’ berbeza pendapat mengenai perkara ini, tetapi kebanyakan daripada mereka berpendapat bahawa perompak perlu meninggalkan kejahatan perompakannya tanpa perlu mendatangi kepala negara, ataupun ia membuang senjatanya dan mendatangi kepala negara sebagai seorang yang taat.
5.7 PEMBERONTAKAN (BAGHYUN)
Ada empat golongan yang dikategorikan sebagai penderhaka (pemberontak) iaitu:
Golongan yang tidak mentaati pemerintah kerana sengaja ingin merosakkan keamanan negeri.
Kumpulan yang memberontak terhadap pemerintah yang adil kerana salah faham atau takwil yang keliru, tetapi jumlahnya kecil.
Golongan khawarij yang mengkafirkan orang yang melakukan dosa-dosa besar dan juga mengkafirkan Uthman, Ali, Thalhah, Az-Zubair dan banyak sahabat yang lain, dan menghalalkan darah orang-orang Islam dan harta benda mereka kecuali yang menyertai pergerakan mereka.
Golongan ahlul-haq yang menentang pemerintah dan bertujuan untuk melucutkan jawatannya kerana sesuatu takwil yang keliru, dan mereka mempunyai kekuatan yang memerlukan kekuatan pula untuk menentang mereka.
Dua golongan umat Islam yang berperang kerana ashabiah atau kerana merebutkan kekuasaan.
UQUBAH KE ATAS BUGHAH (PEMBERONTAK)
Segolongan ulama’ berpendapat bahawa pemberontak wajib terus diperangi kerana membiarkan mereka akan melahirkan banyak lagi kerosakan yang sukar diperbaiki.
Segolongan ulama’ pula berpendapat pemberontak wajib diperangi tetapi harus dinasihat dan diberi amaran terlebih dahulu.
5.8 LIWATH
PENGERTIAN LIWATH
Ialah hubungan seks antara lelaki dengan lelaki lain melalui jalan belakang (dubur) dan termasuk juga hubungan seks antara lelaki dengan perempuan melalui jalan belakangnya. Liwath adalah lebih khusus dalam kes homoseks (hubungan sejenis) walaupun tidak melibatkan jalan belakang.
HUKUM LIWATH
Liwath dipandang keji dalam semua masyarakat Samawi, termasuklah Islam. Ia bermula sejak zaman umat Nabi Luth dimana lelaki melepaskan nafsu terhadap lelaki dan tidak mendekati isteri-isteri mereka. Ijma’ ulama’ bahawa liwath adalah dosa besar dan dikenakan hukuman duniawi dan ukhrawi.
UQUBAH TERHADAP PESALAH LIWATH
Kebanyakan ulama’ berpendapat bahawa orang yang melakukan liwath wajib dikenakan hukuman mati (bunuh) walaupun pesalah bukan muhshan. Di antara yang berpendapat seperti berikut ialah sahabat-sahabat Rasulullah dan salah satu pendapat Asy-Syafi’e.
Abu Bakar As-Siddiq dan Ali bin Abu Thalib berpendapat, orang yang melakukan kesalahan liwat itu hendaklah dipenggal lehernya dengan pedang, kemudian mayatnya dibakar.
Umar Al-Khattab dan Uthman bin Affan berpendapat, pesalah hendaklah ditindih dengan tembok atau dinding batu sampai mati.
Abdullah bin Abbas pula berpendapat pesalah dan pasangannya hendaklah dicampak dari bangunan yang paling tinggi dalam negeri.
Ulama’ lain berpendapat hukuman ke atas pesalah liwath sama dengan hukuman yang diterima pesalah zina.
SYARAT-SYARAT PELAKSANAAN HUKUMAN
Syarat-syarat pelaksanaan hukumannya sama dengan syarat-syarat pelaksanaan hukuman pesalah zina. Dan juga melibatkan:
Pelakunya hendaklah mukallaf, dewasa dan berfikiran waras.
Melakukan liwath dengan sengaja, bukan dipaksakan.
5.9 HUBUNGAN SEKS DENGAN HAIWAN
Para ulama’ bersependapat bahawa melakukan hubungan seks dengan haiwan itu adalah dosa besar
Ahmad, Abu Daud, At-Tirmizi, Ad-Daruqunthi, Al-Hakim, Al-Baihaqi dan Abu Asyaikh meriwayatkan daripada Ibn ‘Abbas r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:
“Barangsiapa mendatangi haiwan hendaklah kamu bunuhnya dan bunuhlah haiwan itu bersamanya.”
UQUBAH KE ATAS ORANG YANG BERHUBUNGAN SEKS DENGAN HAIWAN
Pendapat golongan Malikiah:
Wajib dikenakan hukuman had serupa dengan hukuman ke atas penzina. Orang muhshan direjam sampai mati dan bukan muhshan dirotan seratus kali.
Pendapat golongan Hanbali:
Wajib dikenakan hukuman had serupa ke atas pesalah yang melakukan liwath.
Pendapat golongan Hanafiah:
Tidak dikenakan had, kerana tidak termasuk dalam erti zina dan tiada nash dari Al-Quran atau As-Sunnah mengenainya. Wajib dikenakan Ta’zir mengikut ketentuan hakim.
Pendapat golongan Asy-Syafi’e:
Pendapatnya yang paling kuat adalah serupa dengan pendapat mazhab Maliki, pendapat yang kedua sama dengan pendapat mazhab Hanafi.
HUKUM HAIWAN YANG DISETUBUHI
Para ulama’ berbeza pendapat mengenai perkara ini tetapi kebanyakan daripada mereka berpendapat haiwan tersebut perlu dibunuh untuk mengelakkan masyarakat sekeliling mengumpat (ghibat), mengelakkan daripada pesalah melakukan kali kedua dengan haiwan yang sama, dan untuk mengelakkan kekotoran ke atas pemakan.
5.10 SIHIR
Ijma’ ulama’ menyatakan bahawa sihir itu hukumnya haram dan kafirlah orang yang menghalalkannya. Orang yang mempelajarinya, mengamalkannya dan membenarkannya adalah kafir kerana melakukan sesuatu yang syirik.
UQUBAH KE ATAS TUKANG SIHIR
Pendapat Abu Hanifah, Malik, Ahmad, Golongan Syi’ah dan sebilangan besar sahabat-sahabat Rasulullah s.a.w.:
Tukang sihir wajib dibunuh dengan dipenggal lehernya dengan pedang kerana mempelajari dan mengamalkan sihir kerana ia telah kafir dan tidak perlu disuruh taubat terlebih dahulu.
Pendapat Asy-Syafie dan golongan Az-Zahiriah:
Jika perbuatan atau ucapan ahli sihir itu kufur, maka tukang sihir itu adalah kafir murtad. Berlakulah ke atasnya hukuman seperti ke atas orang yang murtad, kecuali ia bertaubat. Jika perbuatan atau ucapannya tidak kufur, maka ia tidak kafir dan tidak boleh dibunuh. Ia dihukum menurut ketentuan hakim berdasarkan maklumat dari dalil-dalil yang sah.
6.0 IKRAR DALAM HUDUD
TAKRIFAN IKRAR
Secara literal, ia bermaksud menstabilkan atau menyesuaikan sesuatu yang berubah-ubah antara pengakuan dan menafian. Menurut mazhab Syafi’e, Al-Iqrar ditakrifkan sebagai pengakuan dan penghindaran penafian. Ia ditakrifkan sebagai testimoni berhubung dengan hak atau tuntutan terhadap orang yang memberi keterangan. Pengakuan adalah jenis keterangan yang terbaik dan hakimlah yang perlu meneliti dan mengkaji untuk mengesahkan bahawa keterangan palsu tidak wujud.
AL-MUQIRR (ORANG YANG BERIKRAR)
Berkelayakan mengikut hukum syara’, iaitu matang dan dewasa, waras, dan berhati-hati (rasyid).
Membuat pengakuan secara sukarela tanpa paksaan.
Bukan dalam keadaan seperti berikut:
Orang yang sedang dalam tidur (mengigau).
Orang yang dalam pengsan.
Orang yang berjenaka.
Orang yang mabuk.
SYARAT IKRAR DALAM KES SHURB AL-KHAMR (MINUM ARAK)
Ahli fikah menetapkan syarat berikut untuk sesuatu pengakuan salah menjadi sah dari segi Shurb Al-Khamr:
1.Mazhab Hanbali, Abu Yusuf dan Zafer, tidak seperti majoriti pakar undang-undang Muslim yang lain, mensyaratkan bahawa ia mestilah diulang sebanyak dua kali. Pendapat mereka ini berdasarkan analogi keperluan membuktikan kesalahan melalui testimonial dua orang saksi dan juga amalan Sayidina Ali.
2.Ahli Fikah telah mencapai kesepakatan melainkan kumpulan Zahiriah tentang pendapat bahawa pengakuan salah tidak boleh ditarik balik.
3.Pendapat yang dominan dalam mazhab Hanafi ialah muqrir (pengikrar) mestilah dalam keadaan mabuk semasa membuat pengakuan salah tersebut.
SYARAT IKRAR DALAM KES CURI DAN HIRRABA
Jumhur ulama’ selain Imam Hanbali, Abu Yusuf, dan Zafer berpendapat bahawa satu pengakuan salah sudah cukup memadai untuk membuktikan kes curi dan hirraba.
Ahli fikah sebulat suara mengatakan yang tertuduh mesti memberi huraian lengkap tentang kesalahan yang dilakukan.
Abu Hanifah dan beberapa ulama mazhab Syafi’e membuat syarat tambahan bahawa untuk menerima pengakuan salah sebagai sah, mestilah ada tuntutan oleh pihak yang terkilan. Hal ini berdasarkan keputusan Rasulullah s.a.w. dalam kes Samarah yang mengaku dia mencuri harta tertentu milik masyarakat setempat. Baginda s.a.w. menangguhkan pengumuman keputusan sehingga baginda bertemu dengan semua pihak yang terkilan bagi mengesahkan pengakuan salah yang dibuat.
SYARAT IKRAR DALAM KES ZINA
Mazhab Syafi’e, Maliki dan kumpulan Zahiriah berpendapat sekali pengakuan sahaja sudah memadai untuk menyabitkan kesalahan. Mereka memberikan hujah:
Keputusan Rasulullah s.a.w. dalam kes Aseef di mana baginda tidak menentukan sebarang jumlah, dan mengarahkan Anis pergi bertanya kepada perempuan tersebut dan jika perempuan itu mengaku, rejam kedua-dua pesalah dengan batu.
Ghamidiah tidak membuat lebih daripada satu pengakuan salah di hadapan Rasulullah s.a.w.
Tindakan Rasulullah melambat-lambatkan untuk menjatuhkan hukuman bersalah ke atas Maiz selepas tiga kali pengakuan yang pertama ialah kerana baginda meragui kewarasannya.
Sesuatu ikrar adalah secebis maklumat yang lebih dianggap benar daripada palsu. Oleh itu, ia boleh dibuktikan hanya dengan sekali pengakuan sahaja.
Majoriti ahli fikah berpendapat bahawa muqirr mesti memberi keterangan terperinci tentang kesalahan yang dilakukan seperti masa, tempat dan cara melakukannya.
KESALAHAN HUDUD YANG LAIN
Bagi kesalahan hudud yang lain, ahli Fikah telah sebulat suara bersetuju bahawa ia boleh dibuktikan dengan hanya sekali pengakuan salah sahaja.
Dalam kes seperti murtad dan pemberontakan, dibenarkan menarik balik pengakuan tetapi tidak dalam kes Qazaf.
7.0 HIKMAH HUDUD
7.1 HIKMAH HUDUD KEPADA INDIVIDU
Hukum Hudud yang dilaksanakan dapat mendidik manusia menjadi insan kamil yang bermanfaat kepada dirinya sendiri dan alam sejagat, mencegahnya daripada melakukan kesalahan-kesalahan yang menjatuhkan iman dan sahsiahnya, serta dapat menghalangnya daripada melakukan kesalahan selanjutnya jika telah melakukan kesalahan itu. Ini adalah berdasarkan tujuan hukum Hudud disyari’atkan kepada manusia.
7.2 HIKMAH HUDUD KEPADA MASYARAKAT
Dengan pelaksanaan hukum Hudud ini, ia dapat mewujudkan dan melindungi maslahat umum dan masyarakat tanpa mengira agama, bangsa atau kedudukan. Dalam masyarakat mana pun ada orang jahat sebagaimana juga dalam semua badan manusia, pasti ada penyakitnya sama ada banyak atau sedikit. Seorang pembunuh atau penjenayah adalah manusia yang berpenyakit dan sangat berbahaya dalam kehidupan masyarakat. Adanya penjenayah pasti akan menggugat ketenteraman dan kestabilan masyarakat. Dalam hal ini, peranan Syari’at dalam mengubati masyarakat sama seperti peranan seorang doktor mengubati pesakitnya. Selama penyakit boleh diubati, selama itulah ia perlu diubati. Tetapi jika tidak dapat diubati, ia harus dimusnahkan. Perumpamaan ini adalah sangat sinonim dengan Sistem Hukum Hudud.
7.3 HIKMAH HUDUD KEPADA AGAMA
Sistem hukum Hudud dapat memberikan gambaran positif terhadap orang-orang yang menganut agama lain tentang agama Islam. Ini kerana pelaksanaan sistem ini amat memerlukan ketepatan bukti, adil dalam meletakkan keputusan, tegas dalam melaksanakan hukuman dan mempunyai rasa belas terhadap pesalah yang tidak memenuhi syarat had atau yang menarik balik pengakuan. Hukum ini dapat melahirkan umat yang sentiasa suci, tidak berbuat jahat dan tidak dipandang serong oleh masyarakat agama lain.
7.4 HIKMAH HUDUD KEPADA NEGARA
Pelaksanaan sistem hukum Hudud ini dapat melahirkan negara yang jauh lebih aman dan sentosa. Kenyataan-kenyataan membuktikan kepada kita bahawa negara-negara yang menjalankan hukum Jenayah Islam sekarang adalah jauh lebih aman daripada negara-negara lain di seluruh dunia. Negara-negara Arab Saudi, Iran, Oman, dan lain-lainnya menjadi contoh dan bukti yang sangat nyata. Dolak-dalik yang dikemukakan bagi maksud menimbulkan kebencian dan keraguan orang terhadap hukum-hukum Islam sebenarnya dilakukan oleh musuh-musuh Islam atau agen-agennya yang sentiasa berusaha untuk menyesatkan manusia dari jalan Tuhannya.
8.0 TERJEMAHAN / TAFSIR DARIPADA AL-QURAN BERKAITAN HUDUD
Dan barangsiapa yang tidak menghukum dengan hukum yang telah diturunkan Allah, maka mereka itulah orang-orang fasiq (derhaka)
(Surah Al-Maaidah, ayat 47)
Dan barangsiapa yang tidak menghukum dengan hukum yang telah diturunkan Allah, maka mereka itulah orang-orang kafir
(Surah Al-Maaidah, ayat 44)
Barangsiapa yang kafir dengan Allah sesudah ia beriman (ia mendapat kemurkaan Allah), kecuali orang yang dipaksakan kafir padahal hatinya tetap tenang dalam iman, tetapi orang yang lapang dadanya dengan kekafiran, maka kemurkaan Allah menimpanya dan baginya azab yang besar
(Surah An-Nahli, ayat 106)
Dan janganlah kamu mendekati zina kerana sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan keji dan satu jalan yang buruk
(Surah Al-Isra’ ayat 32)
Wanita penzina dan lelaki penzina hendaklah kamu dera atau setiap orang seratus kali rotan dan janganlah belas kasihan atas kedua-duanya menghalang kamu dalam (menegakkan) agama Allah, jika sekiranya kamu beriman dengan Allah dan hari Akhirat,dan hendaklah pelaksanaan hukuman atas kedua-duanya dipersaksikan oleh sekumpulan orang-orang mukmin.
(Surah An-Nur, ayat 2)
9.0 PELAKSANAAN HUDUD DI MALAYSIA
Pelaksanaan hukum Hudud bukanlah satu perkara baru di Malaysia. Di sebuah batu bersurat yang bertulis dengan tulisan Jawi yang telah dijumpai di suatu tempat berhampiran Kampung Buluh di Sungai Tersat, Kuala Berang di Hulu Terengganu yang mana tarikhnya ialah 22 Februari 1303 bersamaan dengan 4 Rejab 702 A.H. disebutkan:-
“Orang berbuat bala cara laki-laki perempuan satitah Dewata Maha Raya jika merdeka bujang palu seratus rotan. Jika merdeka beristeri atau perempuan bersuami ditanam hinggakan pinggang dihambalang dengan batu dimatikan.”
Namun, selepas di kaji melalui bacaan buku Pentadbiran Undang-undang Islam di Malaysia karangan Ahmad Mohamed Ibrahim, dapatlah disimpulkan bahawa tidak ada undang-undang Malaysia yang mengikut hukum Hudud atau menggunakan hukum Hudud secara tepat seperti yang disyari’atkan. Sebagai contoh dinyatakan bahawa apabila berzina, hukuman had yang sepatutnya dikenakan dalam Hudud adalah dirotan 100 kali bagi pesalah bukan muhshan, dan direjam sampai mati bagi pesalah muhshan. Namun dalam undang-undang Malaysia, pesalah zina dan rogol dikenakan penjara tidak melebihi 20 tahun dan tidak melebihi 10 sebatan dan denda di bawah Seksyen 46(2) (cabul), Seksyen 10 (sumbang mahram), Seksyen 11 (zina), dan Seksyen 16 (kehamilan di luar nikah) dalam Kanun Jenayah Syariah 1985, serta Seksyen 375 dan 376 (mengenai rogol) dalam Kanun Keseksaan.
Undang-undang Islam diletakkan di bawah Senarai Negeri. Ini bermakna kuasa perundangan dan pentadbiran undang-undang Islam adalah di bawah kuasa kerajaan Negeri. Badan yang berkuasa untuk membuat undang-undang berkaitan agama Islam adalah Dewan Undangan Negeri. Keadaan ini menjadikan setiap negeri perlu membuat enakmen tersendiri berkaitan perundangan dan pentadbiran Islam selagi mematuhi Perlembagaan dan tidak melangkaui sebutan-sebutan dalam Undang-undang rasmi negara.
KESIMPULAN
Berdasarkan kajian-kajian di atas, terdapat banyak perkara yang dapat disimpulkan. Kebesaran Allah s.w.t. dalam menentukan hukum, hala tuju manusia dan tindakan manusia adalah sangat hebat dan tiada tandingannya. Dapat kami simpulkan bahawa:
Hukum Allah adalah tepat, adil, tidak lapuk dek peredaran zaman, bersesuaian dalam semua keadaan, tempat dan masa, dan amat berkesan dalam menangani masalah manusia bermasalah.
Pentingnya hukum ini dilaksanakan untuk memiliki suasana atau negara yang harmoni, aman dan tenteram.
Betapa Maha Besarnya kuasa Allah s.w.t. yang menetapkan hukum-hukum manusia yang mempunyai banyak keistimewaan dan kebaikan itu.
Betapa pentingnya kita sebagai umat Islam wajib patuh pada perintah-Nya dan wajib menjauhi segala larangan-Nya tanpa dolak-dalik, was-was atau curiga.
Betapa pentingnya melaksanakan syari’at Allah sebagai panduan untuk tindakan terhadap masyarakat bermasalah.
Hukum yang ditetapkan Allah adalah bersifat tetap, tidak boleh diubah.
Hukum Hudud adalah layak diterima oleh pesalah atas perlakuan salahnya itu.
Hukum Hudud dapat membuatkan pesalah insaf dan tidak mahu mengulangi perbuatannya itu lagi.
SENARAI RUJUKAN
Pentadbiran Undang-undang Islam di Malaysia; Ahmad Mohamed Ibrahim; terbitan Institut Kefahaman Islam Malaysia
Mengenal Qanun Jenayah Islam; Drs. Abdul Ghani Azmi b Idris; Al-Hidayah Publishers
Shari’ah: The Islamic Law, ‘Abdur Rahman I. Doi, London Press
Jenayah Kanak-kanak Menurut Undang-Undang Islam; Alwi Hj. Abdul Rahman; terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka
Undang-undang Keterangan Islam; Sayed Sikandar Shah Haneef; terjemahan Utusan Publications
Institusi-institusi Islam; Wan Ali Bin Wan Jusoh, Mohd. Hambali Bin Rashid, Muhammad Fathi Bin Yusof
No comments:
Post a Comment